Wednesday, April 3, 2013

Sekuel KepalMawie

*Sekuel dari post : Rocker

Waktu itu pukul 7.12 malam. Aku tiba di perkarangan parking Wembley Arena. Keluar dari kereta, aku perhati keadaan sekeliling. Ada 2 orang awek gothic rambut merah duduk di bahu jalan dan sekumpulan mat saleh sedang pakai seluar ketat belakang kereta. Maklumlah, konsert rock. Tujuan aku datang pun sebab nak tengok band malaysia main, vokalis dia aku kenal masa sekolah dulu. Bila teringat yang dia tu jawa tapi berkebolehan menyanyi lagu inggeris, aku menumpang bangga walaupun dulu dia bukanlah seorang EMC mahupun pembimbing rakan sebaya.

Mahupun begitu, mereka tidak pernah lupa asal usul dan adat budaya Johor. Bayangkan main di wembley siap ada efek ghazal keroncong. Sebagai orang Johor sejati, aku menumpang bangga lagi sekali. Kalau dijemput Noraniza Idris mungkin lagi kick aku rasa. Lepas tu berduet perform lagu Pak Ngah. 

"Wuuyaii, kalau betul best ni. Crowd mesti gila punya, elakkan berkampung macam woodstock ni karang"

Perlahan-lahan aku tersenyum bila membayangkan zaman Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris dulu yang kalau masih ingat, hampir semua rumah yang aku pergi raya mesti ada membeli VCD karaoke mereka. Video clipnya pula mesti ada Pak Ngah main accordion. Entah betul ke tidak Pak Ngah tu goreng accordion dalam video clip. Entah-entah gaya je. 

"Ah biorlah, Pak Ngah tu pun entah apa cerita sekarang ye"

Selesai hal Pak Ngah, aku pandang langit dan mencari buruj pari. Kalau mengikut ilmu astronomi, buruj pari ni untuk menentukan arah kiblat. Belah kiri buruj pari ni menunjukkan arah ke barat. Nasib aku baik sebab malam tu cuaca baik dan bintang pun terang, jadi tak perlu guna teleskop.

"Ajib, mana sejadah yang aku suruh letak dalam kereta?"

Tatkala bulan dan bintang terang, cuaca pun baik, sejadah pulak tertinggal. Aku panas hati betul dengan Ajib malam tu. Padahal dah berkali-kali aku ingatkan hal sejadah ni ke dia sebelum bertolak tadi. Dia bukan tak tau, dekat area wembley ni mana nak cari surau. Tapi aku diamkan je hal Ajib ni, karang tegur lebih sikit mulalah nak balik merajuk. Nama je roker tapi hal-hal lembut macam ni bukan lah perkara mudah untuk di handle oleh Ajib. 

Oleh kerana waktu tu dah hampir 7 setengah, aku segerakan juga ibadah beralaskan jaket kulit yang mana gambar tengkoraknya tu aku palingkan ke jalan tar. Selesai wirid, aku terus masuk ke arena konsert. Waktu tu Kepalmawie baru setting gitar beliau. Di belah belakang drum set kelihatan member Kepalmawie yang lain sedang duduk melunjur kaki. Mungkin ini dia Pian Remuk, drummer yang selalu keluar URTV tu. Dengar cerita dia ada kencing manis, tapi aku pun tak pasti sangat cerita pasal Pian ni. Cerita pasal Kepalmawie banyak la jugak aku tau. Kadang-kadang Kak Som kerani di ofis aku tu selalu tertinggal majalah hiburan kat tempat buat kopi. Sambil minum kopi, aku selak la sikit-sikit baca hal artis. Tahun 2009 tak silap, kepalmawie ni putus tunang dengan Jeslina Hashim. Tak lama lepas tu timbul pulak gosip dia bergaduh dengan Radhi Khalid di set filem. Ni baru-baru ni dia menafikan berhubungan sulit dengan Uji Rashid. Boleh tahan juga eksotik taste kepalmawie ni.

Bersambung..

No comments:

Post a Comment