Pukul 12 tengahari menandakan sesi persekolahan aku pada sebelah pagi di sekolah kerajaan tamat dan akan digantikan dengan sesi persekolahan sebelah petang. Seperti biasa aku ke surau sekolah untuk menyalin pakaian baju melayu. sungguh bersih, kemas dan dilipat dengan baik oleh bonda. Walaupun ada bahagian yang terlipat kerana terhempap buku teks, tapi masih lagi segak.
Selesai menyalin pakaian, aku dan Farouk akan menunggu di perhentian bas depan sekolah agama sementara menanti pelajar sesi pagi tamat persekolahan. Itu bermakna aku ada 1 jam lagi untuk menunggu. Aku memilih tempat yang paling bersih untuk aku duduk sementara mata masih melilau melihat kereta-kereta ibu bapa pelajar yang kian membanjiri perkarangan sekolah untuk menjemput anak mereka pulang
Di hadapan sekolah agama aku itu ada sebatang pokok besar dengan akar-akar yang berjuntai dari dahan pokok. Macam filem tarzan. Di situlah sebahagian pelajar yang sebaya dengan aku akan bermain-main sementara menunggu kelas bermula. Bagi aku, pada pukul 1 tengahari yang terik akan membuatkan badan berpeluh dan baju melayu akan cepat kotor. Tapi sayang Farouk tidak punya fikiran sebegitu.
Aku masih lagi ingat hilai tawa rakan sebaya aku yang kedengaran dari arah pokok tarzan. Dari tempat aku duduk, aku nampak jelas muka Farouk yang gusar dengan seluar baju melayunya yang kotor dengan tanah pada bahagian lutut.
"Kan aku dah cakap. Kejap lagi Ustazah Zainab buat spotcek macam mana?"
Ternyata apa yang aku cakap itu membuatkan Farouk bertambah risau dan takkan mengubah apa-apa. Ustazah Zainab memang pantang kalau ada pelajarnya yang bermain di pokok itu kerana faktor keselamatan. Sudah berkali-kali juga dia menerima aduan dari ibu bapa yang prihatin akan keselamatan anak mereka. Secara logik, kalau Ustazah Zainab dapat tahu yang Farouk bermain di kawasan pokok tarzan tu, mesti dia akan menelefon emak Farouk. Emak farouk dan bonda aku sama garang dan sama strict.
"Kau tunggu sini."
Aku berjalan ke arah pokok besar. Beg biru muda Farouk yang terletak tidak jauh dari pangkal pokok itu aku galas dan kembali ke perhentian bas. Loceng sekolah berbunyi kuat, pelajar-pelajar sudah berada di tapak perhimpunan dan beratur mengikut kelas masing-masing. Dan dikala itu, aku terus memandang ke hadapan tanpa menoleh sedikit pun ke arah pintu gerbang sekolah sambil membawa beg Farouk. Kami ke taman permainan yang terletak bersebelahan gerai kuih. Jauh dari sekolah agama.
Di sana, Farouk membersihkan luka di lutut dengan air paip sementara aku ke kedai runcit berdekatan untuk membeli pembalut luka.
"Ala, tak besar sangat pun lukanya. Nanti esok lusa baik la kot"
Farouk diam sambil membersihkan luka kaki dan juga kotor tanah di seluar. Makcik yang sibuk menggoreng pisang dari tadi hanya memerhati kami berdua. Ternyata dengan melihat sahaja, dia tidak puas hati. Dia pergi kearah kami.
"Ya Allah dah kenapa dengan kaki kamu??"
"Kawan saya jatuh makcik, dekat depan sekolah agama tadi"
"Saya bukan terjatuh. Kawan saya yang tolak!"
Farouk mencelah untuk membetulkan dirinya.
"Sudah, kalau dah habis basuh tu jangan duduk sini.Tak elok. Duduk dekat kedai makcik"
Petang itu, aku dan Farouk menghabiskan masa di kedai makcik tersebut. Cuma ada 2 atau 3 manusia sahaja yang duduk disitu, minum-minum petang. Aku dan Farouk juga minum petang. Pisang goreng dan air cincau yang diberi ikhlas oleh makcik. Kami bertiga berbual-bual sehingga aku nampak Anis dalam kereta bapanya yang melintas lalu depan kedai untuk pulang ke rumah. Itu tandanya waktu persekolahan kami dah tamat.
Kami mintak diri dan salam makcik tadi. Sebelum pulang, aku teman Farouk pulang kerumah dahulu. Dengan lututnya yang luka, perjalanan kami pulang kerumah sedikit lama dari kebiasaan. Setelah selesai, aku terus pulang ke rumah dengan perasaan sedikit risau. Macam mana kalau bonda tahu aku tak ke sekolah?
Setibanya depan pagar rumah, aku lihat bonda sedang membersihkan pohon bunganya.
"Abang tolong alihkan pasu bunga tu. Letak dekat tepi sana"
Aku letak beg sekolah atas meja tamu dan terus mengalihkan pasu bunga yang sederhana besar itu.
"Ada lagi ke nak alih?"
"Dah tu je, abang masuk tukar baju. Mandi"
Nampaknya tiada orang yang nampak aku dan Farouk tak ke sekolah agama petang tadi. Aku bingkas masuk kedalam rumah dengan perasaan tenang.
-Aku, 5.51 am
-Aku, 5.51 am
Cool, hahaha.
ReplyDelete