Wednesday, October 26, 2011

Aku #4 (Ampun)

Kehidupan itu kadangkala bahagia, dan kadangkala banyak dugaan. Dugaan yang kita tempuhi dalam kehidupan itu adalah datangnya semua dari tangan tuhan. Tuhan tidak pernah beri dugaan yang kita tak mampu untuk hadapi kerana tuhan itu maha kasih dan adil. Awal tahun 2000, ketika aku masih lagi berumur 10 tahun, satu krisis besar yang aku hadapi ternyata benar-benar menguji perasaan aku yang masih lagi mentah.

Masa tu, setiap hari yang aku lalui seakan sama dan statik. Sudah hampir 2 minggu kami sekeluarga hidup dalam chaos kerana ketiadaan ketua keluarga yang aku hormati. Tiada satu rasa marah aku pada dia sebab aku tahu dia bukan pesalah. Dia manusia yang aku hormat sampai bila-bila,hingga akhir nyawa. Ketika itu, hanya tuhan saja yang tahu kepayahan yang kami adik beradik hadapi setiap hari, namun disaat itu juga aku belajar untuk berdikari meneruskan hidup sendiri. Hidup mesti disambung dan perjuangan masih perlu diteruskan.

Seperti hari biasa aku masih lagi pelajar di sekolah agama rendah kerajaan, bertubuh kecil, 1o tahun, lengkap dengan baju melayu putih dan songkok hitam. Memang ayah aku pesan, pelajaran agama itu penting dan walau sibuk macam mana sekalipun, urusan tuhan itu perlu diselesaikan walau dengan apa cara. Masa tu di sekolah, kami yang berumur 10 tahun diajar untuk menunaikan solat. Kelas praktikal solat di surau sekolah. Lalu kami dikehendaki turun ke surau untuk pengajian amali solat selepas waktu rehat.

Kantin sekolah agama bukanlah besar sangat dan makanannya biasa-biasa saja. Ada mee goreng, ada nasi goreng, kuih muih, dan air tanpa ais. Dan dari jauh aku terlihat lagi satu wajah yang tersengih dari jauh.

"Kang nanti kita ada semayang eh?"

"Aah. Kau habiskan la dulu makan tu"

" Kau tak makan? Nah ambik la, beli"

"Eh tak payah la. Aku kenyang, kita duduk sini je la"

Aku duduk di satu meja dengan Azwan sementara menunggu dia untuk habiskan keropok lekor sambal yang dia beli. Masa tu, bukan aku takde duit cuma ada perkara yang lagi penting untuk aku selesaikan dengan duit tu. Jadi, aku kena pandai berjimat sebab aku tak boleh harapkan orang lain.

Satu perkara besar berlaku di kantin sekolah pada masa itu. Melibatkan Azwan dan Ikhwan Johari. Siapa yang tak kenal dengan Ikhwan Johari? Anak pengerusi PIBG sekolah masa tu. Ayah dia sumbang beribu ringgit pada pihak sekolah setiap tahun. Ibu dia pulak kenalan bonda aku. Kedua orang tua Ikhwan anggap anak mereka adalah terbaik dari semua. Sebab itu, Ikhwan besar kepala dan bukan urusan aku untuk campur. Dan Azwan tertumpahkan cili keropok lekor atas kasut putih Ikhwan. Masa tu aku masih ingat Azwan hanya membatu kerana takut. Aku pasti bukan niat dia untuk sengaja tumpahkan sebab aku kenal dia bukan macam tu.

Aku sama Azwan terus ke surau, dari jauh Ustazah Mariam suruh kami susun kasut dan mengambil wuduk. Seperti yang aku jangka, kes di kantin sekolah takkan habis begitu saja.

"Kau bersihkan balik bagi putih macam tadi"

Sepatu sekolah hinggap dekat kepala Azwan. Aku hanya memerhati sambil menunggu reaksi Ustazah Mariam. Aku nampak Ustazah Mariam menjeling dari dalam surau dan belakon seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Azwan membersihkan sepatu putih yang terpalit cili merah ditempat wuduk sambil memberi pandangan simpati pada yang melihat terutamanya aku. Aku jadi serba salah. Kalau boleh, aku taknak ada masalah di sekolah. Tapi bila aku tengok lengan baju melayu Azwan basah kena simbah air aku jadi marah.

"Dah la, nanti boleh basuh kasut tu kat rumah."

"Kasut aku ke kasut kau?"

Aku jadi diam balik. Memang dasar anak hidung tinggi.

"Dia dah bersihkan tu, tak payah nak simbah air dekat dia"

"Sape suruh dia kotorkan kasut aku!"

Aku tak tau macam mana dan kenapa aku capai songkok Ikhwan dan campak dalam longkang tepi surau.

"Tu baru kotor! kau nak aku basuh sekali ke?"

Ada sorang 'anjing' Ikhwan yang aku lupa nama dia tawar diri nak ambik songkok yang aku baling tadi

"Tak payah, aku beli baru!"

Muka Ikhwan berubah, terus dia meninggalkan kawasan surau dan skip sesi amali solat. Aku naik ke surau untuk belajar amali solat dan memikirkan hukuman apa yang bakal aku terima di rumah nanti. Aku bukan memikirkan si budak hidung tinggi, cuma aku memikirkan perasaan ibu aku yang bakal tau tentang apa yang aku buat tadi. Mungkin ini bukan masa yang sesuai dan apa yang aku buat tu salah.

Sampai dirumah petang tu, keadaan lagi buruk dari apa yang aku sangkakan. Semuanya sebab panggilan dari mak Ikhwan. Memang dari kecil aku dibesarkan dengan bilah rotan, dah takde ape makna. Tapi perasaan perit melihat ibu sendiri menangis itu adalah satu perasaan yang paling buat aku sedih dan bersalah. Beribu kali ganda sakitnya kalau nak dibandingkan dengan sakit rotan.

"Kenapa semua orang taknak dengar cakap ni?"

Dia bangun dan terus kebilik, pintunya ditutup rapat. Aku tau, masa itu adalah masa yang sangat susah buat kami sekeluarga. Sampai bila-bila aku takkan lupa benda yang jadi hari tu. Masih ada dalam kepala tanpa cacat cela.

Diruang tamu itu hanya ada aku dan adik aku yang masih tak tau apa-apa.

"Nah, ambik yang kaler putih. Merah tu pedas"

Aku hulur gula-gula hacks yang aku simpan dalam beg sekolah seperti selalu.


1 comment:

  1. hurm, menarik... ur story mcm buatkn pembaca nak baca n baca lagi....

    ReplyDelete