Sunday, October 23, 2011

Aku #3 (Pencarian)

Tengahari itu, selepas pulang dari sekolah agama rendah aku terus menuju ke pintu gerbang hitam sekolah dan menunggu satu susuk tubuh. Sejak dari beberapa minggu sebelumnya memang rutin harian aku macam tu. Selesai saja belajar dan tamat kelas, aku ke pintu hitam itu dan menunggu sehingga susuk tubuh itu tiba.

Ada seorang budak lelaki berumur 10 tahun yang macam aku juga ketika itu, berjalan menuju kearah aku dengan senyuman dibawah terik matahari. Azwan nama dia.

"Jalan ke?"

"Abis tu? jalan la macam biasa"

Kebiasaannya selepas habis waktu persekolahan, akan ada seorang pakcik dengan sebuah kereta akan menunggu untuk menjemput Azwan pulang ke rumah. Aku pula, akan berjalan kaki macam biasa. Rumah Azwan dan rumah aku dekat dan kami satu kawasan perumahan. Dan beberapa minggu yang lepas juga, Azwan selalu balik jalan kaki dengan aku. Tiada lagi driver, tiada lagi kereta. Berjalan dengan 2 kaki sampai rumah.

Mungkin ketika itu faktor rakan yang menyebabkan Azwan sering balik dengan aku. Di sekolah, takde langsung manusia yang nak berkawan dengan Azwan. Jangan tanya aku kenapa sebab aku pun tak tahu sebabnya. Dan mungkin juga sebab itulah dia suruh aku tunggu dia hari-hari selepas tamat sekolah macam hari yang sedang aku tulis ni.

Mengikut kedudukan jalan dari sekolah ke rumah kami, akan ada satu restoran mamak nama Restoran Solehah. Di situ kami akan berhenti untuk membeli air dan wajib makan roti canai. Secara jujur, itu semua duit Azwan, bukan duit aku. Kadang-kadang aku kurang selesa macam tu. Ye la, hari-hari macam tu rasa segan jugak. Tapi bila aku fikir secara positif, aku tak perlu tahan lapar bila sampai rumah. Di rumah bukan ada apa pun, cuma biskut. Tipikal kanak-kanak umur 10 tahun masa tu, makan biskut hari-hari memang membosankan. Bonda selalu pesan, jangan hina rezeki. Tapi Bonda juga ada pesan, jangan tolak rezeki. Jadi secara konklusinya aku akan teman Azwan ke Restoran Solehah hari-hari selepas habis sekolah agama.

Kadang-kadang roti canai, kadang-kadang rojak mamak atau nasi goreng. Selera Azwan ni macam orang tua-tua kadang-kadang. Aku hanya mintak roti canai sekeping dengan teh o ais. Itu pun kalau lapar. Kalau tak, aku mintak gula-gula hacks. Boleh simpan bawak pergi sekolah esok.

"Aku rasa aku nak carik papa aku la"

Jelas Azwan dengan serius

"Kenapa pulak. Papa kau kat mane?"

"Papa aku dekat Selangor"

Menurut pengiraan aku, Selangor itu tempat tinggal Mak Su aku. Perjalanan ke sana kalau ikut highway macam sebelum ni sangat bosan.

"Jauh la. Selangor dengan Johor tak dekat"

"Eh takdela, aku pegi dengan mama aku dekat je."

"Kau nak pergi carik macam mana?"

"Naik bas ke?"

Kepala aku makin pening. Aku belum pernah lagi ke Selangor dengan menaiki bas pada masa tu. Cuma apa yang aku bayangkan, mungkin perjalanan ke Selangor akan jadi singkat kerana menaiki bas. Pada fikiran aku masa tu, bas lagi laju dari kereta. Selalu aku tengok di highway, bas yang potong kereta bapak aku sangat lah laju.

"Naik bas? Sorang-sorang?"

"Aah la. Tak mahal kan?"

Naik bas pun belum, mana aku nak tau harga tambang bas. Mungkin sama dengan bas-bas lain. Cuma naik, bagi duit pada driver, ambik tiket

"Entah la, mahal la kot"

"Nanti teman aku nak? kita tidur rumah papa aku"

"Gila"

Kesudahannya Azwan masih lagi semangat nak ke Selangor. Pada masa itu, erti penceraian masih belum nyata pada kami berdua.

No comments:

Post a Comment