Vape yang aku beli 6 bulan lepas (kiri) vs. vape yang sama aku beli tadi cuma upgrade ke corak camo (kanan) |
Termasuk kali ni, dah tiga kali vape aku hilang di tengah jalan cuma model sahaja lain-lain. Petang tadi, aku ke Pulau Pinang kerana menghadiri persidangan. Plan awalnya, aku target untuk balik ke Kulim dalam pukul 5 petang dan terus membeli belon unicorn untuk birthday Yasmin. Tapi mesyuarat pulak drag sampai hampir pukul 7 petang. Dengan kalut, aku terus memandu balik ke Kulim macam pelesit. Mungkin vape aku tercicir depan kedai belon tu masa aku kalut nak ambik kunci kereta.
Kalau diikutkan, vape pod hari ni bukanlah macam vape 4-5 tahun lepas. Saiznya jauh lebih kecil dan harganya pula tidak terlalu mahal macam dulu. Kalau macam Aladdin Pro ni, anggaran harga di pasaran dalam sekitar RM 60 hingga RM 90 bergantung pada design.
Vape pod yang kecil dan ringan ni memang aku punya preferences. Kalau diikutkan, aku mula vaping pada tahun 2015. Aku masih ingat jenama yang yape yang aku gunakan iaitu Sigelei dengan Kangertech tank. Ini semua Rifaie punya hal, dia lah yang menjadi tokan vape secara kecil-kecilan di Kota Tinggi dulu. Atas dasar semangat setiakawan, aku pun cuba membeli vape ni untuk support bisnes member.
Buat yang kaki vape, mesti kau orang tahu betapa strugglenya untuk setup vape jenis sub-ohm ni. Belum lagi bercerita tentang aksesori dan kelengkapan yang diperlukan bila kapas mula hangit. Proses untuk menyediakan kondisi tank vape ni (dalam bahasa urban kita panggil "wicking") agak rumit, memakan masa, dan memerlukan bakat terpendam semulajadi. Nasib aku baik kerana aku adalah salah seorang yang tergolong dalam kumpulan tu. Untuk yang tak reti, terpaksa pulak mencari kedai vape berdekatan untuk "servis" vape tank ni dengan upah yang kebiasaanya adalah sebanyak RM 5.
Bagi perokok yang beralih kepada vape, semestinya kelengkapan yang rapi sangat diperlukan di rumah agar senang untuk melakukan proses wicking ni pada bila-bila masa. Contohnya seperti kapas, dawai kanthal, tweezer (untuk memampatkan coil), dan juga aksesori tambahan seperti tisu dan cotton bud. Nampak tak betapa rumitnya menjadi seorang vaper pada ketika itu?
Lama-kelamaan, aku jadi malas. Bermacam-macam vape mod yang aku gunakan seperti Vaporshark, Smok e-pipe, Provari P3 dan IPV4 namun semuanya tidak kekal lama. Sejak dari itu, aku semakin kerap kembali ke kebiasaan lama iaitu merokok. Dari sebatang menjadi dua batang. Dari dua batang menjadi empat batang. Akhirnya aku terjebak kembali dalam kancah mengisap tembakau. Semuanya berpaksikan kepada dua faktor besar iaitu proses penyediaan vape yang rumit dan tahap kepuasan (nicotine intake) yang rendah berbanding rokok. Selalunya, alasan yang kedua ini lah yang menyebabkan majoriti orang yang mengisap vape kembali merokok tembakau. Tidak sampai setahun, aku menjadi perokok tegar semula dan hal-hal vape dilupakan begitu saja.
Segalanya berubah selepas aku berjumpa dengan Kimi pada akhir 2018 ketika dia ditugaskan di Pulau Pinang. Dia lah yang memperkenalkan kepada aku apa itu vape pod. Sejujurnya pada ketika itu, aku agak skeptikal kerana percubaan aku yang pertama untuk beralih kepada vape pernah gagal. Namun setelah Kimi menerangkan perihal vape pod ini dengan secara mendalam, aku bertekad untuk mencuba kembali. Pada bulan yang sama juga, aku mencuba vape pod yang sama dengan apa yang Kimi pakai ketika itu iaitu Aspire Breeze 2 dan e-juice jenis salt nicotine perasa tembikai dari Garam.
Hari berganti hari, akhirnya aku berjaya kekal dengan vape hingga ke hari ini. Faktanya, dengan berubah dari merokok tembakau ke vape, tidak menjadikan kita berada dalam kehidupan yang sihat sepenuhnya. Untuk menjadi sihat sepenuhnya, kita tidak boleh bergantung harap pada nikotin dalam kehidupan seharian. Tapi, pada pengalaman peribadi aku, aku merasa lebih sihat sekarang berbanding zaman aku merokok. Jogging misalnya, kalau dulu setiap kali main futsal mesti ada rasa pedih di dada. Namun masalah itu semua berkurang dengan banyak sejak aku beralih kepada vape.
Tapi dalam banyak-banyak perokok tegar yang aku jumpa, takda siapa yang boleh lawan lecturer matematik aku dulu, Dr. Rustem Sancheleev. Sebatang rokok, dia boleh habiskan dengan 3 kali sedut.
No comments:
Post a Comment