Thursday, December 31, 2020

Syukur

Ammar yang ditengah, aku belah kiri (1998)

Minggu lepas aku sempat berjumpa Ammar, seorang sahabat lama di Kota Tinggi, Johor. Katanya nak mengopi bersama sebab hampir setahun lebih kami tidak duduk bersembang, lebih-lebih lagi selepas masing-masing kini mempunyai keluarga sendiri dan duduk di negeri yang berlainan. 

Pada mulanya aku membayangkan Ammar masih seperti dulu; seorang yang penuh dengan lawak jenaka dan suka bercerita tentang banyak hal hingga kami mampu mengopi bercawan-cawan di mamak. Asalnya aku set untuk berjumpa dengan Ammar di mamak tempat kami selalu melepak dulu. Memandangkan sekarang musim Covid-19 dan Ammar seakan berat mahu keluar rumah, jadi kami bertemu di rumah Ammar sahaja. 

Semasa aku sampai di parkir, aku disambut oleh kawan lama itu dengan begitu mesra, tidak lebih dan tidak kurang, sama seperti waktu dulu-dulu. Cuma wajahnya kelihatan agak pucat. Pada fikiran aku, mungkin penat barangkali. Tidak lama kami berbual, Ammar menunjukkan lengannya yang berbekas dengan kesan jarum. Ternyata sangkaan awal aku salah kerana Ammar kini mempunyai masalah buah pinggang dan harus melakukan rawatan dialisis. Pada ketika itu, tahulah aku bahawa inilah sebabnya mengapa Ammar terasa berat bila aku ajak ke mamak. 

Kami berbual tentang kondisi dan rawatan yang dia jalani. Memang benar seperti apa yang orang kata, menjalani rawatan dialisis ini bukanlah satu perkara yang mudah. Travel misalnya, menurut apa yang Ammar bagitahu aku, dia kini tidak mampu untuk bergerak jauh apatah lagi untuk ke luar negeri kerana rawatan dialisis itu memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Setiap sesi rawatan pula akan memakan masa selama lebih kurang 4 jam dan perlu di ulang sebanyak 3 kali dalam seminggu. Kos rawatannya pula menelan belanja sebanyak RM 300 ringgit untuk satu sesi. Secara kasar, Ammar perlu menyediakan RM 3,600 ringgit setiap bulan buat selama-lamanya kecuali dengan pembedahan pemindahan buah pinggang. Mujur pihak Baitulmal dapat menolong meringankankan kos rawatan.

Ammar kelihatan begitu tenang memberitahu aku tentang bagaimana beliau terpaksa menjual kereta untuk menampung belanja perubatan dan tambahan pula dia bakal menimang cahaya mata kedua pada bulan ini. Selang beberapa ketika, dia ada bertanyakan pada aku soal hibah dan insurans kesihatan. Alhamdulillah, setakat ini aku dan keluarga telah mempunyai kedua-duanya. Aku hanya sekadar dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman tentang hibah dan insurans pada Ammar kerana aku bukanlah orang yang begitu arif dalam hal ini. 

Tanpa menunggu lama, aku menelefon seorang kenalan bekerja sebagai ejen insurans, Firdaus di Johor Bahru dan menerangkan kondisi Ammar dan keluarga namun jawapan yang aku dapat amat tidak memberangsangkan. Katanya tiada masalah untuk permohonan ahli keluarga yang lain tetapi untuk kes Ammar, sudah agak terlambat untuk memohon insurans kesihatan dan insurans nyawa. Firdaus berjanji akan cuba sedaya upaya untuk bantu Ammar dalam hal ini.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, aku membayangkan betapa perit jika aku berada di tempat Ammar dan aku sendiri tidak tahu jika aku boleh bertenang dan sabar seperti mana Ammar dengan kondisinya. Malam itu aku sedar yang banyak hal dalam kehidupan seharian ini yang aku tidak menilainya dengan baik dan terlepas pandang.Kadangkala kita merungut tentang apa yang bukan ditakdirkan bukan milik kita sehingga kita alpa dengan beribu nikmat lain yang tuhan berikan.

fabi ayyi ala i rabbikuma tukazziban

Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?


No comments:

Post a Comment