Monday, December 21, 2020

Antara Doktor & Twitter



Hari ini saya ada membaca satu lagi ciapan di Twitter, berkenaan seorang lagi pegawai perubatan di hospital kerajaan mengadu bahawa seorang ibu muda yang hadir ke hospital pada awal pagi kerana alasan yang tidak munasabah.

Memori berkenaan pegawai perubatan dan ciapan yang bagi saya keterlaluan masih segar di ingatan berkenaan kes seorang doktor yang menggunakan bahasa kesat di Twitter tempoh hari. Kali ini, kes yang hampir sama terjadi lagi.

Bagi saya, setiap profesi mempunyai peranan yang berbeza-beza dan percaya atau tidak, kita sebenarnya sama-sama bergantung antara satu sama lain. Sebuah hospital yang teguh dan selamat tidak akan wujud jika tiada arkitek dan jurubina yang membinanya. Segala alatan dan mesin yang digunakan untuk tujuan perubatan itu tidak akan berfungsi jika tiada jurutera yang menciptanya. Begitulah juga peranan seorang doktor dalam dunia perubatan; untuk merawat dan memberi khidmat nasihat perubatan kepada masyarakat tanpa prejudis.

Ciapan yang saya baca hari ini datang dari seorang doktor muda yang masih berstatus houseman (HO), yang menempelak tindakan seorang ibu mengandung yang hadir ke hospital pada jam 12 malam. Menurutnya, ibu tersebut mengadu bahawa dia risau akan kandungannya yang kurang pergerakan seperti selalu dan hadir ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Namun, tindakan ibu muda ini dikatan tidak wajar dan menganggapnya sebagai “cannot brain”.

Saya beranggapan bahawa ciapan ini bukan sahaja tidak menunjukkan sifat profesionalisme seorang pegawai perubatan yang seharusnya merawat dan memberi nasihat perubatan kepada apa jua pesakit yang hadir tanpa prejudis, bahkan mencalarkan imej pegawai perubatan lain yang ikhlas dan berkredibiliti. Adakah menjadi suatu kesalahan jika ada seorang ibu muda yang datang untuk mendapatkan rawatan kerana risau akan kandungannya? Adakah anda rasa ibu muda ini secara suka-suka untuk datang ke hospital pada malam hari?

Mungkin bagi anda yang mempunyai ijazah kedoktoran lebih arif dan tahu bahawa masalah ini bukanlah satu masalah yang besar, namun anda tidak boleh beranggapan bahawa semua orang mempunyai ilmu dan pengetahuan seperti anda. Seeloknya sebagai seorang pegawai perubatan, anda harus bangga kerana menjadi seorang yang berilmu dan dapat berkhidmat untuk orang ramai. Jika anda merasakan bahawa peranan ini terlalu berat dan “cannot brain”, saya sarankan anda berhenti menjadi seorang doktor.

No comments:

Post a Comment