Sunday, January 3, 2021

Resepi Asam Pedas Johor

Asam pedas ikan jenahak


Dua minggu lepas, saya ada balik ke Johor dengan target yang salah satunya adalah untuk belajar resepi asam pedas dari mak saya. Asam pedas ni special bagi saya sebab saya membesar dengan asam pedas, dan jarang jumpa asam pedas di kedai yang kena dengan selera saya.

Jadi hari ni kita cuba asam pedas ikan jenahak. Secara keseluruhan semuanya ok, cuma memandangkan ini kali pertama masak ikan jenahak, isinya agak rapuh, mungkin sebab tidak boleh dimasak terlalu lama. Kali ni saya cuba untuk menulis resepi asam pedas yang saya belajar untuk rujukan sendiri di masa akan datang.

Bahan-bahan untuk dikisar:

・Cili kering dalam segenggam kecil Bawar besar sebiji Bawang putih 2 biji Halia dalam 1 inci Sedikit belacan

Bahan-bahan lain:

Ikan atau ayam (4-6 kelar ikan atau ayam) Daun kesum Bunga kantan Sayur seperti tomato/bendi/terung. Garam Serbuk perasa Gula

Bahan-bahan yang disediakan (kecuali bahan kisar)


Pertama sekali panaskan minyak. Ikut cara mak saya, minyak tu lebihkan supaya bahan tumis cepat masak. Bila siap nanti, minyak lebihan tu boleh di buang kemudian. Setelah minyak panas, masukkan bahan kisar tadi dan tumis sehingga masak atau orang kata "naik minyak".

Selepas bahan tumis tadi masak, masukkan sedikit air. Masa ni kita dah boleh masukkan ikan atau ayam. Kebiasaannya kalau ikan, selalu kita nampak orang akan gunakan ikan seperti tenggiri, pari, dan bawal. Tapi banyak lagi ikan yang boleh digunakan seperti ikan merah, ikan parang, jenahak dan sebagainya. Untuk ikan yang mempunyai isi yang lembut seperti jenahak, nak masukkan sedikit lewat pun takpa kerana untuk mengelakkan isinya dari mudah terlerai.

Bahan kisar ditumis sehingga masak atau naik minyak

Setelah itu, tambahkan air lagi sehingga menutupi ikan atau ayam yang telah dimasukkan tadi. Masukkan garam, serbuk perasa, sedikit gula, dan asam jawa. Untuk lebih sedap, masukkan daum kesum dan bunga kantan. Kadang-kadang, ada orang yang tidak berapa gemar atau biasa dengan aroma daun kesum dan bunga kantan. Jadi kalau tak suka, tak perlu tambah. Kalau berhajat nak menggunakan terung, boleh masukkan juga kerana terung ni agak keras dan emngambil masa nak masak.

Bila kuah dah mendidih, masukkan sayur seperti tomato, dan bendi. Masa ni kita dah boleh cuba rasa kuah ni dan tambah apa yang kurang. Ikut tips mak saya, elok di buat sedikit lebih masinnya supaya bila dimakan dengan nasi tidak terasa tawar.

Tunggu sayur yang dimasukkan seperti bendi tadi lembut dan akhirnya selesailah asam pedas kita.

Asam pedas yang sedia untuk dihidang


No comments:

Post a Comment