"I will put them (Palestine) back to middle age"
-Benjamin Netanyahu
Itu adalah komen dari PM Israel mengikut sumber RT news Russia pagi tadi. Dan awal pagi tadi aku tengok ramai bergaduh dengan pendapat masing-masing berkaitan boikot dan sebagainya.
Beginilah, dari mengeruhkan keadaan yang telah 'stiff' atmosferanya, aku hanya mengambil keputusan untuk menulis di blog dari menambah buah fikiran di facebook walaupun banyak yang aku nak sampaikan.
Persoalan yang pertama adalah isu boikot produk yang menyalurkan keuntungan untuk zionis. Di Malaysia sekarang tengah hangat pasal memboikot Starbucks, KFC, dan Mcd. Matlamat mereka adalah untuk menyekat pergerakan zionis dengan menyekat sumber ekonomi mereka dengan cara memboikot 3 franchais diatas. Sebagai contoh aku ambil Starbucks. Di Malaysia terdapat 126 franchais. Terangkan plan dan strategi tentang bagaimana cara boikot yang benar-benar berkesan. Isu boikot ini aku samakan seperti demam. Bila terasa bahangnya dari zionis yang mereka lihat di kaca tv, serta merta demam boikot melanda rakyat Malaysia. Kalau kita lihat franchais di Arab Saudi, 6 franchais di Mekah dan 26 franchais di Madinah. Cuba google isu boikot di Mekah dan Madinah ni.
Persoalan kedua adalah sikap kita yang terlalu mudah meletakkan hukum, menghalalkan sesuatu yang mereka rasa padan dengan citarasa sendiri. Aku ada lihat di facebook bagaimana dia mempertahankan isu boikot yang "berkecuali". Jika benar mereka telus dengan idea boikot ini 100%, mengapa tidak dibuangkan saja terus iphone, jangan pakai intel, jangan pandang android, malah tak perlu heboh dengan ideologi yang bagi aku 'cetek' di facebook. Delete saja akaun facebook, ke atau tak termasuk dalam list boikot? Ada antara mereka mengatakan bahawa barangan serupa teknologi ini kononnya tak usah di boikot kerana dengan teknologi ini kita boleh gunakan sebagai medium counter attack. Aku setuju, namun bukankah itu selfish? Mengapa tidak kita fikirkan saudara kita di Malaysia yang membanting tulang berkerja siang malam di Mcdonalds? Apakah sumber mereka itu juga tidak halal dan perlu dicegah?
Persoalan yang ketiga ialah berkenaan betapa ceteknya pemikiran orang Melayu. Bagi aku isu boikot ni umpama lawak yang tak sudah. Orang kita memang suka melatah. Bila tiba demam boikot, semuanya boikot. Pantang ada yang terkecuali, mulalah nak bertegang leher. Boikot ini satu pilihan diri dan bukannya trend. Semuanya bergantung pada individu itu sendiri sama ada mereka mahu atau tidak.
Apa yang berlaku pada saudara Islam kita di Gaza, kita sama-sama rasa pedihnya. Melihat orang kita sendiri bercaci maki sesama sendiri atas dasar buah fikiran yang berlainan adalah pedih dan sedih. Semoga suatu hari nanti anak-anak Gaza mampu tersenyum kembali.