Monday, June 21, 2021

Kerana Sebungkus Pampers

Sejak kami berpindah ke Kulim, kami sekeluarga mempunya ruang masa yang sangat terhad untuk dihabiskan bersama kerana saya dan isteri mempunyai waktu bekerja yang berbeza. Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat Kak Erni untuk membersihkan rumah setiap 2 minggu.

Kak Erni merupakan seorang wanita Indonesia di pertengahan umur 40-an. Dia telah berkahwin dan menetap lama di Malaysia. Sepatutnya Kak Erni sudah lama pulang ke kampung halaman di Indonesia, namun semuanya terhalang oleh pandemik Covid-19. 

Pada hari Jumaat lepas, Kak Erni datang ke rumah kami untuk membersihkan rumah seperti biasa. Isteri saya tiba-tiba teringat akan baki pampers milik Yasmin yang sudah tidak digunakan. Sebenarnya sebelum pulang ke Sarawak pada Februari lepas, Yasmin dah pun berjaya untuk tidak pakai pampers secara total.
Baki pampers yang kami beli dulu ada banyak lagi; satu pek yang belum dibuka dan satu lagi yang masih berbaki separuh.    

"Apa kata kita tanya Kak Erni. Rasanya anak dia ada anak yang pakai pampers"

Ujar isteri saya sambil meluru masuk ke bilik Yasmin sebelum meluru ke tingkat bawah bersama pek pampers tersebut.

Saya yang berada di tingkat atas hanya mendengar perbualan antara isteri saya dan Kak Erni. Tiba-tiba saya terdengar Kak Erni berkata;

"Alhamdulillah, ringan sikit lepas ni. Tinggal beli susu je lagi."

Saya hanya diam dan mendengar perbualan lanjut isteri saya dan Kak Erni. Selang beberapa ketika kemudian, isteri saya kembali ke tingkat atas dan berkata;

"Memang betul lah kata orang, dalam rezeki kita ada jugak rezeki orang lain."

Ya, memang betul. 

Dalam apa yang kita kecapi hari ini, baik dari segi wang ringgit, kerjaya yang bagus, perniagaan yang maju, sebenarnya bukan datang dari usaha dan kudrat kita 100%. Mungkin tanpa berkat doa ibu dan bapa kita, tanpa sokongan rakan-rakan yang mengambil berat pasal kita, tanpa rakan sejawatan yang sanggup berkongsi ilmu, kita tidak akan capai apa yang kita ada pada hari ini. 

Maka orang yang bodoh adalah orang yang sombong dengan apa yang mereka ada tanpa mereka sedar itu semua takkan wujud tanpa orang sekelilingnya dan hanyalah sementara. 

Semoga Tuhan tidak menguji kami sekeluarga dengan sifat takabbur dan sombong.

No comments:

Post a Comment