Tuesday, October 11, 2011

Aku #1 (Prolog)

Pandangan aku keluar tingkap dengan nikmat asap hitam membuat aku terfikir akan kehidupan. Apa yang aku ingin ceritakan ini mungkin sedikit sebanyak dapat membuka minda kita sebagai seorang manusia.

Bermula pada tahun 1999 dan aku masih anak kecil di sekolah rendah kerajaan. Persekitaran mengajar aku erti kehidupan lebih dari apa yang aku mahu. Segala-galanya berubah pada tahun itu. Dan di satu saat di tahun 1999 yang aku tak pasti bila, aku berfikir akan kehidupan aku dengan matang. Bermula dari rumah, hingga ke sekolah semuanya bercampur dan chaos. Tak dapat aku bayangkan ketika itu dan aku sendiri ragu-ragu dengan apa yang aku rasa namun yang pasti aku sedih dengan apa yang telah berlaku. Seakan tiada ruang untuk aku merasa nikmat kehidupan sebagai kanak-kanak 9 tahun.

Sebagai seorang anak mentah, mencari kebahagian yang aku sendiri tak tahu amat menyakitkan. Dirumah gelap, di luar juga kelam. Aku hanya mahu ada orang yang datang dan tipu that's everything gonna be fine. Macam mana waktu itu aku terasa kesusahan yang teramat. Sebagai seorang anak yang dibesarkan dengan etika aku yakin dengan apa yang aku ada lebih dari mampu untuk aku teruskan kehidupan yang gila.

Alhamdulillah tahun itu juga tuhan balas aku dengan kejayaan PTS. 3 orang anak melayu termasuk aku ditawarkan untuk skip ke darjah 5. Bermakna aku boleh habiskan persekolahan yang celaka dengan awal. Aku tolak kerana aku ada sebab sendiri. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu aku fikirkan. Di hari pengumuman aku masih lagi teringat dengan Cikgu Faridah. Sehabis kelas, dia beri aku duit 5 ringgit dari beg tangan dia serta sebiji epal dan kad ucapan tahniah sekolah dan berkata :

"Cikgu tau awak boleh, cikgu bangga dengan awak. Jangan biar orang lain jejaskan pelajaran kita"

Dan satu ciuman yang pada aku ciuman seorang ibu kepada anak hinggap di dahi. Dan ketika itu aku sedikit segan sebab perkara itu perkara asing bagi aku. Aku simpan kemas not 5 ringgit lama itu dalam poket seluar biru. Aku salam Cikgu Faridah dan keluar dari kawasan sekolah yang aku benci. Kad ucapan sekolah, aku campak tepi longkang sekolah.

Memang betul waktu itu usia aku 9 tahun. Tapi tak pernah sekali aku merungut kalau bapak aku tak ambil aku dari sekolah atau tak pernah datang untuk ambil report card hijau peperiksaan. Bagi aku itu perkara biasa. Apa salahnya kalau jalan kaki? Apa masalahnya kalau ambil report card tanpa ditemani sesiapa? Setakat cikgu sekolah yang membebel itu lumrah. Lagipun rumah aku bukan jauh sangat. Aku berjalan tapak demi tapak menuju kerumah sambil menguyah buah epal.

Dan aku masih ingat, aku sampai di muka pintu rumah. Aku letak kemas kasut putih dalam almari kasut dan aku terus ke bilik. Aku salin uniform sekolah dan mandi. Makan malam bungkus, kerja sekolah, dan hari itu habis begitu sahaja. Tiada satu perkataan keluar dari mulut masing-masing yang seakan-akan bisu.

No comments:

Post a Comment