Monday, June 21, 2021

Kerana Sebungkus Pampers

Sejak kami berpindah ke Kulim, kami sekeluarga mempunya ruang masa yang sangat terhad untuk dihabiskan bersama kerana saya dan isteri mempunyai waktu bekerja yang berbeza. Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat Kak Erni untuk membersihkan rumah setiap 2 minggu.

Kak Erni merupakan seorang wanita Indonesia di pertengahan umur 40-an. Dia telah berkahwin dan menetap lama di Malaysia. Sepatutnya Kak Erni sudah lama pulang ke kampung halaman di Indonesia, namun semuanya terhalang oleh pandemik Covid-19. 

Pada hari Jumaat lepas, Kak Erni datang ke rumah kami untuk membersihkan rumah seperti biasa. Isteri saya tiba-tiba teringat akan baki pampers milik Yasmin yang sudah tidak digunakan. Sebenarnya sebelum pulang ke Sarawak pada Februari lepas, Yasmin dah pun berjaya untuk tidak pakai pampers secara total.
Baki pampers yang kami beli dulu ada banyak lagi; satu pek yang belum dibuka dan satu lagi yang masih berbaki separuh.    

"Apa kata kita tanya Kak Erni. Rasanya anak dia ada anak yang pakai pampers"

Ujar isteri saya sambil meluru masuk ke bilik Yasmin sebelum meluru ke tingkat bawah bersama pek pampers tersebut.

Saya yang berada di tingkat atas hanya mendengar perbualan antara isteri saya dan Kak Erni. Tiba-tiba saya terdengar Kak Erni berkata;

"Alhamdulillah, ringan sikit lepas ni. Tinggal beli susu je lagi."

Saya hanya diam dan mendengar perbualan lanjut isteri saya dan Kak Erni. Selang beberapa ketika kemudian, isteri saya kembali ke tingkat atas dan berkata;

"Memang betul lah kata orang, dalam rezeki kita ada jugak rezeki orang lain."

Ya, memang betul. 

Dalam apa yang kita kecapi hari ini, baik dari segi wang ringgit, kerjaya yang bagus, perniagaan yang maju, sebenarnya bukan datang dari usaha dan kudrat kita 100%. Mungkin tanpa berkat doa ibu dan bapa kita, tanpa sokongan rakan-rakan yang mengambil berat pasal kita, tanpa rakan sejawatan yang sanggup berkongsi ilmu, kita tidak akan capai apa yang kita ada pada hari ini. 

Maka orang yang bodoh adalah orang yang sombong dengan apa yang mereka ada tanpa mereka sedar itu semua takkan wujud tanpa orang sekelilingnya dan hanyalah sementara. 

Semoga Tuhan tidak menguji kami sekeluarga dengan sifat takabbur dan sombong.

Thursday, June 17, 2021

Reward System Apps for Kids

Since Yasmin became the big sister at 5 years old, me and my wife thought she need to learn more on responsibility and consequences. Consequences means, she need to learn that for every actions, there will be a reward or punishment depending on the behavior.

Initially we use a verbal-reward way, a technic that I believe used by many parents. The kid will be expecting a reward after a good behavior/action. The problem is, we sometime tends to forget the promised reward that could lead to a bad example for the kids. 

So we try an apps called Kiddy on Google Play Store. It is a premium apps with in-app purchase. The layout is nice with bright yellow color. The function is very straight forward and easy to use. 

Kiddy Apps


Home layout of the app.

On the front page, there are two main buttons: the smile point (yellow color) to add the kiddy point and the angry point (black color) to deduct the accumulated points. 

Points history record

This is the example how we record the points. During this period, we are in Sarawak. With the uncles and aunts pampering Yasmin, sometime it was hard to make her to listen to our instruction. But this apps makes it easier. The black color point (5 points) was deducted from the account when Yasmin downloaded an apps without permission.


Point redemption

A reward can be set within the apps. A bigger reward will require higher point to redeem. For example, above is a 10 points redeemed by Yasmin for a tube of Pringles. 


Wishlist screen

This is the wishlist screen, where we can view the current active objective/wish. At the moment, Yasmin is asking for a foot scooter. We told her that she requires 50 points to get the scooter and she agrees. So far the agreement stands according to the plan and we'll see again in a month time. 

For those who are interested to have a look on this apps, you may find it here.
Unfortunately, it is not yet available on iOS. 

Sunday, January 31, 2021

Reviu Buku : Berfikir Tentang Pemikiran



Pendahuluan
Beberapa tahun yang lalu, penulis telah memberitahu saya perihal buku ini ketika ia masih dalam proses pembikinan. Setelah selesai, beliau telah menerbitkan buku ini di bawah Independent Insight dengan modal sendiri dan akhirnya sekarang telah diulang cetak oleh syarikat percetakan yang lebih berpengalaman. Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan buku ini boleh dapatkan terus di Kinokuniya.

Saya telah mengenali penulis sejak dari zaman kami di UniKL MIAT pada 2009 dan seterusnya melanjutkan pelajaran bersama-sama di Saint Petersburg. Akhirnya kini kami dipertemukan kembali apabila kami bekerja di syarikat yang sama. Boleh kata lebih kurang 12 tahun kami berkawan.

Walaupun telah lama kenal, untuk mengetahui pemikiran seorang makhluk bernama Syed Ahmad Fathi ini bukanlah mudah kerana sifat dan lagaknya yang bersahaja dan sering melawak membuatkan saya secara peribadi susah untuk meneka apa yang sedang difikirkan. Dengan membaca buku ini, saya seperti dapat melihat satu sisi yang tidak dapat saya lihat di kehidupan seharian. Segala ilmu dan pandangan beliau telah dimuatkan dalam buku yang kompleks ini. Semoga Syed Ahmad Fathi akan terus sukses di masa akan datang dan mengeluarkan buku lagi.

Kehidupan dan Dakwah
Di awal buku ini, penulis banyak menceritakan pengalamannya dalam dunia dakwah semenjak beliau kecil, kemudian memasuki sekolah agama berasrama di utara Malaysia dan seterusnya perjalanan dakwah itu diteruskan di bumi Soviet.

Jujur saya katakan, saya tidak bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti dakwah di Rusia dahulu lebih-lebih lagi yang memerlukan untuk bergerak jauh seperti ke Moscow yang mengambil masa 7-8 jam perjalanan dengan menaiki keretapi. Hanya sekadar mampu menghadiri usrah kecil-kecilan yang diadakan di rumah kami setiap hari Khamis.

Penulis banyak berkongsikan kisah perjalanan dakwah beliau semenjak beliau belajar di sekolah berasrama di Perlis. Melalui penceritaan penulis, ia memberikan satu gambaran kepada says tentang sekolah aliran agama (kerana saya sekolah yang beraliran sains) dari segi struktur dakwah dan tarbiyah, konsep pendekatan dakwah secara adik-abang dan sebagainya. Namun yang menjadi saya tertarik adalah pengorbanan yang ditempuhi penulis dan rakan-rakannya yang terpaksa berkorban wang dan masa demi dakwah. Bagi saya ini adalah bahagian yang paling kritikal kerana bukan semua orang yang mampu melakukan hal yang sama seperti apa yang di kongsikan penulis.

Ilmu tanpa batasan
Saya tertarik dengan kisah yang ditonjolkan penulis berkenaan dengan seorang pakcik yang ditahan selepas didapati menyertai Ikhwanul Muslimin di Mesir. Pakcik itu hanyalah seorang tukang kayu namun ceramahnya banyak dihadiri oleh golongan bijak pandai termasuk golongan ilmuan dan profesional. Dalam kehidupan, kita selalu terdengar dengan ungkapan “dia ni memang tak boleh pakai langsung”. Saya teringat suatu ketika dahulu, guru saya pernah berpesan bahawa setiap manusia yang diberikan kesempatan lahir di dunia ini adalah beruntung dan tidak ada seorang pun yang diberikan kehidupan yang sia-sia. Sedangkan binatang yang tidak mempunyai akal itu pun mampu mengajar kita akan beberapa perkara, inikan pula manusia. Dalam buruknya, saya percaya pasti ada satu dua perkara yang kita boleh belajar dari manusia lain.

Penulis berkongikan pengalaman beliau ketika berdiskusi dengan seorang pakcik pemandu teksi berkenaan politik dan Islam di Malaysia. Penulis bertanya beberapa soalan sensitif seperti adakah kita perlu memilih pemimpin yang beragama Islam atau yang bukan beragama Islam ketika pilihanraya. Pakcik tadi memberikan jawapan yang bagi saya cukup mudah dan bernas.

Saya bersetuju 100% bahawa pemimpin yang beragama Islam tetapi berpaksikan sistem jahiliyah perlu ditolak, manakala pemimpin yang bukan Islam tetapi berlaku adil dan tidak meruntuhkan syiar Islam, perlu didukung. Sebagai contoh pada hari ini, saya lebih memilih Uncle Kentang untuk menjadi wakil rakyat dari pemimpin zalim yang berbangsa Melayu dan Islam. Intinya dalam memilih pemimpin, selagi mana seseorang itu boleh berlaku adil dan tidak menyalahi hukum fikrah manusa dan Islam, kita sebagai rakyat perlu menyokongnya walaupun berlainan bangsa dan agama.

Kita perlu bijak dalam menilai percaturan politik di negara ini. Ada segelintir manusia yang cuba memainkan sentimen politik kebencian yang berselindung di sebalik topeng nasionalisme. Pada pendapat saya, nasionalisme itu penting dan perlu dalam kehidupan seluruh rakyat Malaysia asalkan tidak terlalu disempitkan skopnya sehingga menidakkan segala apa yang datang dari golongan yang pada fikiran kita bukan nasionalis.

Dakyah pemikiran liberal
Masyarakat pada hari ini keliru dan dipesongkan dengan dakyah pemikiran liberal. Media telah menjadi satu medium yang paling pantas dalam melebarkan sayap-sayap ideologi liberalist. Penulis menekankan pesanan Dr. Yusuf Al-Qardhawi yang mengingatkan umat Islam akan perkara ini di dalam bukunya yang bertajuk “Pemuda Islam Yang Dijanjikan”.

Sejarah telah membuktikan dan seharusnya kita belajar dari kesilapan lampau. Saya percaya bahawa dalam usaha mengeksploitasi sesebuah bangsa dan negara, caranya bukan sahaja menggunakan kekerasan dan paksaan. Malah boleh saya katakan bahawa cara ini rumit, mahal (kos peperangan dan persenjataan) dan tidak mampu kekal lama (sustainable). Cara yang paling ampuh dan licik adalah dengan menyerang kepercayaan dan mengubah pemikiran mereka dengan pemahaman-pemahaman yang mengikut acuan kita atas nama modenisasi. Lihat sahaja apa yang berlaku di Turki. Kerajaan khalifah yang memerintah telah mampu bertahan dari pelbagai serangan selama ratusan tahun. Namun semuanya hilang dalam sekelip mata disaat rakyatnya disogok oleh pemikiran sekularisme.

Salah satu kenyataan yang begitu menyentuh jiwa saya dari penulis adalah “Hari ini kita melihat kekufuran sebagai lambang kebebasan dan kefasikan itu adalah seni dalam kemajuan”. Mahu atau tidak, manis ataupun pahit, itulah kenyataan paling tepat yang menggambarkan situasi yang terjadi dikalangan umat Islam di negara ini. Bila mana kita melihat generasi muda menganggap usaha dakwah sebagai sesuatu yang kolot dan mengongkong, kita perlu tahu bahawa umat kita dalam bahaya.

Pemikiran separatisme dan eksklusivisme dikalangan pendakwah
Pada kurun ke-5, Aristotle pernah mengetengahkan teori “causality” yang secara mudahnya setiap perkara yang terjadi mesti ada penyebab. Seperti isu yang telah saya ulas dari penulis sebelum ini, kita tidak boleh hanya melihat kepada masalah liberalisme (effect) semata-mata tanpa kita siasat apakah perkara yang menjadikan masalah ini kian merebak dikalangan masyarakat (cause).

Penulis telah menonjolkan dua masalah utama yang cukup besar dikalangan pendakwah bukan sahaja di peringkat bawah, tetapi juga di peringkat nasional. Menurutnya, sebagai orang Islam, kita seharusnya menggabungkan diri dengan masyarakat, bukan berpisah dan duduk dalam kepompong eksklusif.

Penulis menceritakan pengalaman beliau yang sungguh menarik saat beliau merantau ke Kazan, ibu negeri Republik Tatarstan. Disana beliau berkesempatan bertemu dengan Imam Ramil Hazrat Yunusov di Masjid Kul Sharif. Tatarstan merupakan sebuah negara republik yang majoriti rakyatnya beragama Islam, setelah menerima pengaruh agama Islam yang kuat dari Volga Bulgaria; negara Islam yang pertama dalam sempadan Rusia moden suatu ketika dahulu.

Saya bersetuju dengan penulis dengan menjadikan Tatarstan sebagai salah satu contoh terbaik untuk menggambarkan bahawa walaupun mereka berfahaman Islamik, namun mereka tidak mempunyai masalah untuk bergabung dan berasimilasi dalam sebuah federasi yang sekular. Berbanding dengan Chechnya, Dagestan dan Ingushetia yang mempunyai gerakan separatis dan mahu negara mereka bebas dari campur tangan Moscow sehingga terjadinya peperangan yang mengorbankan nyawa insan yang tidak berdosa.

Di Malaysia pula, penulis berpendapat bahawa gerakan-gerakan dakwah yang pernah beliau sertai mempunyai pemikiran eksklusivisme. Kebanyakkan dari tenaga dakwah tersebut datang dari keluarga pendakwah dan terdedah dengan proses tarbiyah sejak dari kecil. Mereka ini membesar, dan mengenali antara satu sama lain dan akhirnya program-program dakwah yang dijalankan hanya berkitar dikalangan mereka juga. Saya tidak pasti akan fenomena sebegini kerana seperti saya katakan di awal ulasan ini, saya bukanlah individu yang terlibat secara langsung dalam proses dakwah. Saya berpendapat kemungkinan kenyataan ini benar adalah tinggi memandangkan saya telah mengenali penulis dengan rapat dan tahu akan aktiviti dakwah yang pernah beliau sertai.

Penulis mengkelaskan golongan ini sebagai “born daei” dan “ready made activist” yang menjadi pendakwah bukan asalnya datang dari kemahuan diri sendiri tapi hanya mengikut jalan yang sudah disediakan oleh ibu bapa mereka yang merupakan senior dalam dunia dakwah. Saya berpendapat bahawa ini bukanlah isunya dan penulis tidak mempunyai apa-apa masalah dengan golongan sebegini kerana penulis juga datang dari keluarga pendakwah tetapi penulis mengkritik sifat eksklusivisme yang terjadi di kalangan mereka.

Saya juga melihat barah eksklusivisme ini sebagai suatu masalah yang perlu dibendung dan dirawat segera supaya institusi gerakan dakwah tidak dicop sebagai hak eksklusif keturunan dan keluarga semata-mata. Hal ini akan menyebabkan lebih ramai masyarakat luar yang merasakan mereka tidak layak dan menjauhi gerakan dakwah di Malaysia.

Pada skala nasional pula, penulis menyentuh tentang sifat eksklusivisme negara kita dalam mengendalikan isu pelarian Rohingya. Isu ini juga merupakan isu yang hangat kami debatkan di podcast tempoh hari.

Penulis berpendapat bahawa negara kita jelas menunjukkan sifat eksklusivisme dengan melarang sesetengah pelarian Rohingya untuk berlabuh di perairan Malaysia. Menurut penulis lagi, sifat eksklusif yang ditunjukkan dalam hal ini dipacu oleh kefahaman nasionalisme yang ekstrem.

Saya kurang bersetuju dalam hal ini. Setiap negara di atas muka bumi ini mempunyai hak dan aturan dalam menerima kemasukan warga asing. Hak ini bukan hanya terpakai untuk pelarian Rohingya sahaja tetapi kepada semua yang statusnya bukan rakyat tetap sesebuah negara. Adakah terma eksklusivisme ini masih valid dalam hal ini?.

Namun begitu saya bersetuju dengan penulis bahawa kita perlu cuba yang terbaik dalam mengendalikan kes pelarian Rohingya ini atas dasar kemanusiaan dan tuntutan agama supaya berbaik baik sesama manusia. Satu perancangan yang rapi perlu dirangka untuk mengelakkan pelarian-pelarian ini dari terbiar tanpa arah dan akhirnya menyebabkan kematian.

American Exceptionalisme
Salah satu perkara yang sangat menarik minat saya adalah bila penulis menyentuh sifat berkecuali yang dipraktikkan oleh Amerika Syarikat. Perkara ini bagi saya bukanlah perkara yang asing dan baru dikalangan kita kerana Amerika sudah sejak azali cuba menjadi hero dalam segala hal.

Menurut apa yang penulis ulas, Howard Zinn pernah menerangkan bahawa setiap negara adalah unik; unik dalam erti kata yang spesifik yang membezakan sesebuah negara dengan negara yang lain. Menurutnya Amerika itu unik disebabkan sifatnya yang superior dari sudut teknologi, kemajuan dan ketenteraan sehingga membawa kepada self-congratulation.

Penulis juga mengetengahkan idea Chomsky yang beranggapan bahawa sikap exceptionalisme ini bukan hanya ada pada Amerika sahaja bahkan Great Britain juga pada suatu ketika dahulu merasakan mereka ini lebih maju dan superior dari negara-negara lain sehinggakan terbit frasa “The sun never set on the British Empire”. Mereka lalu merasakan menjadi tanggungjawab mereka untuk menjajah dan mengubah negara-negara lain yang dikatakan mundur untuk hidup lebih bertamadun. Lihat sahaja negara kita yang tercinta ini. Kita dapat lihat corak sistem tinggalan Empayar British masih kekal dalam pemerintahan negara kita seperti sistem perundangan contohnya.

Saya sangat tertarik dengan kenyataan yang diselitkan oleh penulis yang datang dari dua bekas setiausaha Amerika Syarikat:

We have the right necessary to act unilaterally” – Madeleine Albright, 1997-2001

This principle of our right to act unilaterally should not be universalized” – Henry Kissinger, 1973-1977

Lihat betapa angkuhnya kenyataan mereka. Pertama, mereka kata mereka mempunyai hak untuk bertindak secara superior dan yang kedua melarang pula pihak lain untuk bertindak seperti mereka.

Demokrasi Acuan Amerika
Amerika merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem politik demokrasi di negara mereka. Seperti kelazimannya, Amerika juga turut cuba ‘mendidik’ negara-negara lain dengan demokrasi cara mereka yang didakwa lebih bagus dan baik. Sebaliknya, apa sahaja usaha Amerika untuk campur tangan dalam urusan negara lain atas nama demokrasi adalaha dongeng semata-mata. Dalam hal ini, Amerika jelas merupakan sebuah negara yang penipu dan pembelit. Menerima ‘demokrasi’ cara Amerika umpama menerima api di dalam sekam. Mereka berlagak seolah-olah raja dalam dunia demokrasi tapi mereka juga yang paling banyak menokok tambah sistem demokrasi tersebut bila acuannya tidak selari seperti apa yang dirancang.

Saya bersetuju dengan penulis dengan mengambil contoh negara Mesir. Masih ingatkah kita disaat Mohamed Morsi diangkat menjadi presiden Mesir yang dipilih secara demokratik melalui pilihanraya pada tahun 2012? Pada waktu itu kita dapat melihat media massa melaporkan secara langsung ribuan rakyat Mesir sujud di jalanan tanda syukur.

Apabila Jeneral Abdel Fattah el-Sisi melancarkan kudeta menjatuhkan Mohamed Morsi, ini jelas bertentangan dengan aturan demokrasi. Namun begitu, John Kerry selaku setiausaha Amerika Syarikat pada ketika itu menyokong tindakan el-Sisi dan berkata bahawa pihak tentera telah berjaya mengembalikan demokrasi di Mesir. John Kerry dan konco-konconya jelas telah menghina sistem demokrasi secara total dan apa yang dapat kita simpulkan dengan bahasa mudah adalah demokrasi ala Amerika Syarikat adalah demokrasi berkepentingan.

Ada satu bahagian yang disampaikan penulis membuatkan saya tergelak. Tergelak kerana apa yang ditulis itu benar dan kelakar. Sungguhpun telah banyak yang boleh kita lihat bahawa Amerika Syarikat telah membelakangkan demokrasi dan kebebasan apabila ia bertentangan dengan kepentingan mereka, masih ada pertubuhan di Malaysia ini yang kononnya menjadi “advocates” kepada demokrasi yang berkiblatkan Amerika. Mereka ini boleh saya katakan “delusional” dan “ignorant”.

Kesimpulan
Buku ini dapat saya simpulkan sebagai buku yang mengetengahkan isu politik, falsafah, dan pengalaman hidup dari kaca mata seorang pendakwah. Terdapat banyak idea dan cadangan yang saya kira sangat baik dan boleh diketengahkan. Dengan membaca buku ini, anda seolah-olah membaca puluhan buku yang lain kerana banyak idea-ideanya diambil dan di ketengahkan oleh penulis. Saya jamin, dengan membaca buku ini, sedikit sebanyak akan menjentik pemikiran kita.


Sunday, January 3, 2021

Resepi Asam Pedas Johor

Asam pedas ikan jenahak


Dua minggu lepas, saya ada balik ke Johor dengan target yang salah satunya adalah untuk belajar resepi asam pedas dari mak saya. Asam pedas ni special bagi saya sebab saya membesar dengan asam pedas, dan jarang jumpa asam pedas di kedai yang kena dengan selera saya.

Jadi hari ni kita cuba asam pedas ikan jenahak. Secara keseluruhan semuanya ok, cuma memandangkan ini kali pertama masak ikan jenahak, isinya agak rapuh, mungkin sebab tidak boleh dimasak terlalu lama. Kali ni saya cuba untuk menulis resepi asam pedas yang saya belajar untuk rujukan sendiri di masa akan datang.

Bahan-bahan untuk dikisar:

・Cili kering dalam segenggam kecil Bawar besar sebiji Bawang putih 2 biji Halia dalam 1 inci Sedikit belacan

Bahan-bahan lain:

Ikan atau ayam (4-6 kelar ikan atau ayam) Daun kesum Bunga kantan Sayur seperti tomato/bendi/terung. Garam Serbuk perasa Gula

Bahan-bahan yang disediakan (kecuali bahan kisar)


Pertama sekali panaskan minyak. Ikut cara mak saya, minyak tu lebihkan supaya bahan tumis cepat masak. Bila siap nanti, minyak lebihan tu boleh di buang kemudian. Setelah minyak panas, masukkan bahan kisar tadi dan tumis sehingga masak atau orang kata "naik minyak".

Selepas bahan tumis tadi masak, masukkan sedikit air. Masa ni kita dah boleh masukkan ikan atau ayam. Kebiasaannya kalau ikan, selalu kita nampak orang akan gunakan ikan seperti tenggiri, pari, dan bawal. Tapi banyak lagi ikan yang boleh digunakan seperti ikan merah, ikan parang, jenahak dan sebagainya. Untuk ikan yang mempunyai isi yang lembut seperti jenahak, nak masukkan sedikit lewat pun takpa kerana untuk mengelakkan isinya dari mudah terlerai.

Bahan kisar ditumis sehingga masak atau naik minyak

Setelah itu, tambahkan air lagi sehingga menutupi ikan atau ayam yang telah dimasukkan tadi. Masukkan garam, serbuk perasa, sedikit gula, dan asam jawa. Untuk lebih sedap, masukkan daum kesum dan bunga kantan. Kadang-kadang, ada orang yang tidak berapa gemar atau biasa dengan aroma daun kesum dan bunga kantan. Jadi kalau tak suka, tak perlu tambah. Kalau berhajat nak menggunakan terung, boleh masukkan juga kerana terung ni agak keras dan emngambil masa nak masak.

Bila kuah dah mendidih, masukkan sayur seperti tomato, dan bendi. Masa ni kita dah boleh cuba rasa kuah ni dan tambah apa yang kurang. Ikut tips mak saya, elok di buat sedikit lebih masinnya supaya bila dimakan dengan nasi tidak terasa tawar.

Tunggu sayur yang dimasukkan seperti bendi tadi lembut dan akhirnya selesailah asam pedas kita.

Asam pedas yang sedia untuk dihidang


Saturday, January 2, 2021

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Vape yang aku beli 6 bulan lepas (kiri) vs. vape yang sama aku beli tadi cuma upgrade ke corak camo (kanan) 

Termasuk kali ni, dah tiga kali vape aku hilang di tengah jalan cuma model sahaja lain-lain. Petang tadi, aku ke Pulau Pinang kerana menghadiri persidangan. Plan awalnya, aku target untuk balik ke Kulim dalam pukul 5 petang dan terus membeli belon unicorn untuk birthday Yasmin. Tapi mesyuarat pulak drag sampai hampir pukul 7 petang. Dengan kalut, aku terus memandu balik ke Kulim macam pelesit. Mungkin vape aku tercicir depan kedai belon tu masa aku kalut nak ambik kunci kereta.

Kalau diikutkan, vape pod hari ni bukanlah macam vape 4-5 tahun lepas. Saiznya jauh lebih kecil dan harganya pula tidak terlalu mahal macam dulu. Kalau macam Aladdin Pro ni, anggaran harga di pasaran dalam sekitar RM 60 hingga RM 90 bergantung pada design

Vape pod yang kecil dan ringan ni memang aku punya preferences. Kalau diikutkan, aku mula vaping pada tahun 2015. Aku masih ingat jenama yang yape yang aku gunakan iaitu Sigelei dengan Kangertech tank. Ini semua Rifaie punya hal, dia lah yang menjadi tokan vape secara kecil-kecilan di Kota Tinggi dulu. Atas dasar semangat setiakawan, aku pun cuba membeli vape ni untuk support bisnes member. 

Buat yang kaki vape, mesti kau orang tahu betapa strugglenya untuk setup vape jenis sub-ohm ni. Belum lagi bercerita tentang aksesori dan kelengkapan yang diperlukan bila kapas mula hangit. Proses untuk menyediakan kondisi tank vape ni (dalam bahasa urban kita panggil "wicking") agak rumit, memakan masa, dan memerlukan bakat terpendam semulajadi. Nasib aku baik kerana aku adalah salah seorang yang tergolong dalam kumpulan tu. Untuk yang tak reti, terpaksa pulak mencari kedai vape berdekatan untuk "servis" vape tank ni dengan upah yang kebiasaanya adalah sebanyak RM 5. 

Bagi perokok yang beralih kepada vape, semestinya kelengkapan yang rapi sangat diperlukan di rumah agar senang untuk melakukan proses wicking ni pada bila-bila masa. Contohnya seperti kapas, dawai kanthal, tweezer (untuk memampatkan coil), dan juga aksesori tambahan seperti tisu dan cotton bud. Nampak tak betapa rumitnya menjadi seorang vaper pada ketika itu?

Lama-kelamaan, aku jadi malas. Bermacam-macam vape mod yang aku gunakan seperti Vaporshark, Smok e-pipe, Provari P3 dan IPV4 namun semuanya tidak kekal lama. Sejak dari itu, aku semakin kerap kembali ke kebiasaan lama iaitu merokok. Dari sebatang menjadi dua batang. Dari dua batang menjadi empat batang. Akhirnya aku terjebak kembali dalam kancah mengisap tembakau. Semuanya berpaksikan kepada dua faktor besar iaitu proses penyediaan vape yang rumit dan tahap kepuasan (nicotine intake) yang rendah berbanding rokok. Selalunya, alasan yang kedua ini lah yang menyebabkan majoriti orang yang mengisap vape kembali merokok tembakau. Tidak sampai setahun, aku menjadi perokok tegar semula dan hal-hal vape dilupakan begitu saja.

Segalanya berubah selepas aku berjumpa dengan Kimi pada akhir 2018 ketika dia ditugaskan di Pulau Pinang. Dia lah yang memperkenalkan kepada aku apa itu vape pod. Sejujurnya pada ketika itu, aku agak skeptikal kerana percubaan aku yang pertama untuk beralih kepada vape pernah gagal. Namun setelah Kimi menerangkan perihal vape pod ini dengan secara mendalam, aku bertekad untuk mencuba kembali. Pada bulan yang sama juga, aku mencuba vape pod yang sama dengan apa yang Kimi pakai ketika itu iaitu Aspire Breeze 2 dan e-juice jenis salt nicotine perasa tembikai dari Garam.

Hari berganti hari, akhirnya aku berjaya kekal dengan vape hingga ke hari ini. Faktanya, dengan berubah dari merokok tembakau ke vape, tidak menjadikan kita berada dalam kehidupan yang sihat sepenuhnya. Untuk menjadi sihat sepenuhnya, kita tidak boleh bergantung harap pada nikotin dalam kehidupan seharian. Tapi, pada pengalaman peribadi aku, aku merasa lebih sihat sekarang berbanding zaman aku merokok. Jogging misalnya, kalau dulu setiap kali main futsal mesti ada rasa pedih di dada. Namun masalah itu semua berkurang dengan banyak sejak aku beralih kepada vape.

Tapi dalam banyak-banyak perokok tegar yang aku jumpa, takda siapa yang boleh lawan lecturer matematik aku dulu, Dr. Rustem Sancheleev. Sebatang rokok, dia boleh habiskan dengan 3 kali sedut.