Tuesday, October 4, 2016

Sujud Terakhir

Pabila tiba masa kepalamu tergantung,
Dan kedua kakimu jauh terpasak di perut bumi,
Disaat itu tak seorang pun mampu bicara,
Malah tiada satu pun suara yang mampu mentertawakan tuhan lagi.

Kau akan terus bertanya dan bertanya,
Apa amal mu itu berharga atau hanya tinggal sisa,
Hanya menunggu masa seperti si buta yang sibuk mencari,
Sujud yang terakhir menyembah kaki Illahi.

Wednesday, September 21, 2016

Bonda

*Sebuah karangan lama yang aku jumpa balik recently.


Pandanganku terlontar jauh ke luar
menerusi jendela yang satu itu
lalu hilang ditengah kemajmukan orang di atas bumi Belanda ini.

Sedang pikiranku masih lagi terbatas
dengan mimpi yang termain dengan sendiri
yang masih belum bisa ku hentikan.

Jelas perasaanku rindu pada kampung,
ingatanku dirajai bonda.

Keterbatasan jarak antara aku dan bonda begitu besar bebannya,
sebesar gunung Merapi yang penuh dengan hangatnya perasaan sayang dan rindu.

Betapa sekali ingin ku cium tangannya yang begitu mulia,
biar terlerai perasaan ini seperti benang-benang dari sapu tangan yang usang.

Tak tercapai tanganku yang dua ini kerna jauhnya terpisah oleh dua lautan yang dalam tak ku kira.

Mungkin hanya pesanku pada tuhan yang dapat menemani bonda,
Kerna Dia selalu ada untuk hambanya.

Langestraat, Belgium. 17 Januari 2013

Saturday, April 2, 2016

Vicious Elevator

Waktu petang bila balik kerja, bila menggunakan lif di bangunan rumah aku - ketika itu lah masa yang membuatkan orang lain semua nampak salah.Kadang-kadang tak dapat aku bayangkan betapa annoying rasa bila pintu lif terbuka sebelum sampai tingkat yang aku tuju.

Semua orang serba jadi tak kena. Kenapa tekan butang lif kuat sangat? Kenapa kau bising berbual dalam lif? Kenapa kau bau hapak? Seolah-olah setiap orang yang masuk lif selepas aku itu adalah sinner.

Kadang-kadang aku rasa bersalah juga. Mereka juga bangun pagi, pergi kerja, taking shit, pukul 6 balik kerja, hujung bulan makan gaji. Untuk berfikiran macam itu, dah memadai untuk aku simpulkan sebagai selfish. 

Bila tiba tingkat 21, aku rasa lega. Esok aku berazam untuk ada positive thinking walaupun sikit. 
Sampai depan pintu rumah, kunci tertinggal dalam kereta.

Sumpah seranah dalam lif.

Wednesday, March 30, 2016

Hikayat Durjana Botak

Hari ini kita lihat
Anak-anak merdeka yang hatinya luka
Jiwanya membara dan bibirnya penuh cerca

Tiap kata anak-anak itu umpama gerobak laju
Sedang meluru ke tembok batu yang dibina pemimpin yang sebu

Usah ditahan walau sekali
Sekatlah walau berkali
Anak-anak ini tak mungkin boleh dibeli
Apa lagi berpaling mengundur diri

Hari itu akan tiba
Bila durjana turun takhta
Sang pengikut meratap hiba