Di bawah pohon rendang, menghadap selat melaka yang permai, duduklah seorang laksamana agung yang tidak pernah hilang namanya dan tidak pernah luput sejarahnya di kitab. Sesekali angin bayu laut meniup lembut tetapi mampu tanjak melayu Tuah itu seakan menari-nari umpama penari gamelan istana.
Tuah hanya membisu tanpa berkata apa, namun hatinya bagai diinjak-injak, di tampar-tampar, turun naik nafasnya, kerana dia punya beribu satu persoalan yang mahu dikatakan namun tak boleh dinyatakan dengan perkataan. Hanya dari lirikan matanya yang dari tadi menatap laut Melaka menyimpan beribu rahsia tentang apa yang dia rasakan.
Terlalu besarkah kesalahan yang telah Tuah lakukan sehingga dia membatu sedemikian rupa? Hanya dia saja yang tahu betapa zalimnya dia tanpa ada yang tau. Hatinya, jiwanya, sudah tidak punya apa-apa makna padanya.. Kosong, tanpa ada pelengkap untuk dia ubat lara jiwanya. Tatkala itu jari jemarinya tangkas memegang hulu taming sari yang menjadi lambang kekuatan negeri melaka, sebagai simbol agungnya dia sebagai laksamana yang tidak akan rebah walau terpaksa berdepan dengan seribu bala tentera mahupun badai gelora. Hatinya menjadi sayu kerana kekuatan itu hanya luaran, dan laksamana melayu itu tertunduk malu pada diri sendiri lalu jatuh tanjaknya ke pasir pantai yang putih.
Sayang beribu kali sayang buat laksamana itu, tangisannya yang tak berbunyi bagaikan si bisu yang mahu bergurindam. Pedih, namun hanya dia yang tahu.
Sudah beribu kali kanda daki Ledang
Namun bayang dinda masih tidak mendatang
Minta diampun segala dosa kanda
Moga terlerai segala keperitan di jiwa
Pulanglah dinda membawa cinta
Kanda tunggu ke akhir nyawa.
Lalu hilanglah Laksamana Tuah di bumi Melaka. Hilangnya tanpa jasad namun apa yang dia rasa itu masih kekal dan akan terus ada buat selamanya.